Isu Malaysia bakal menjadi negara tua tidak lama lagi bukanlah satu perkara baharu, malah sudah ‘diingatkan’ pelbagai pihak mengenainya.
Negara yang populasinya menurun boleh mengakibatkan banyak implikasi termasuk peningkatan jumlah warga emas dan berlaku tekanan dalam sistem sokongan sosial.
Puncanya mudah, iaitu jumlah populasi di negara ini semakin menurun atau kata lain, wanita Malaysia tidak melahirkan anak mengikut jumlah yang sepatutnya.
Mengikut fakta seperti yang diterbitkan dalam laman Public Health Malaysia, pada 1980, setiap wanita di Malaysia memiliki 4.9 anak per wanita.
Namun, pada 2022, angka itu menurun kepada 1.6 anak per wanita, jauh daripada paras penggantian (replacement level) iaitu 2.1.
Maklumat di laman itu menyebut, hanya wanita di Terengganu, Kelantan dan Pahang masih menghasilkan bayi yang mencukupi untuk mengekalkan populasi mereka dengan 2.5 anak per wanita.
Manakala, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menunjukkan kadar kesuburan paling rendah pada 2022 dengan masing-masing memiliki 1.2 dan 1.4 anak per wanita. Keadaan itu secara tidak langsung berisiko menjadikan populasi warga emas kedua-dua negeri itu meningkat dari tahun ke tahun.
Isu ini mencetuskan pelbagai pandangan dan reaksi, terutamanya daripada golongan wanita dan pasangan suami isteri.
Kebanyakannya menyatakan kos hidup sebelum ini tidaklah terlalu tinggi seperti sekarang, jadi tidak mengapa jika mempunyai anak ramai.
Namun, dengan keadaan ekonomi semasa, rata-ratanya mengakui ‘takut’ untuk memiliki anak yang ramai kerana bimbang tidak dapat menanggung kos membesarkan anak seperti duit susu, lampin pakai buang, kos pusat penjagaan atau pengasuh, kos perubatan dan sebagainya.
Ada benarnya pandangan itu kerana keluarga yang tidak mempunyai anak pun terkesan dengan peningkatan kos hidup semasa, apatah lagi mereka yang mempunyai anak ramai.
Pun begitu, ada juga pandangan lain yang menyatakan anak-anak itu membawa rezeki kepada ibu bapa, jadi mengapa takut memiliki anak yang ramai?
Ada yang berpendapat, setiap anak yang dilahirkan itu mempunyai rezeki yang sudah ditetapkan oleh Tuhan Yang Maha Esa, jadi tidak perlu persoalkan tentang itu.
Bagi golongan yang try to conceive atau berusaha dapatkan zuriat atau mereka yang tiada rezeki untuk memiliki cahaya mata pula berpandangan, janganlah menolak rezeki jika hamil anak ketiga, keempat dan seterusnya, terima seadanya dengan penuh kesyukuran.
Pandangan itu pun ada benarnya kerana pasangan suami isteri yang bersusah payah mendapatkan zuriat sahaja tahu bagaimana pengorbanan mereka demi menimang cahaya mata.
Walau apa jua pandangan dan alasan yang diberikan, apa yang paling penting tengok kepada kemampuan diri, iaitu keupayaan untuk hamil, melahirkan dan membesarkan anak dalam persekitaran yang baik dan selamat.
Bukan sahaja wanita, golongan suami juga perlu melihat kemampuan mereka dalam menyediakan semua keperluan yang diperlukan untuk membesarkan cahaya mata.
Anak itu terhasil daripada hubungan harmoni pasangan suami isteri, bukannya terletak pada bahu wanita semata-mata.
Akhir sekali, tepuk dada tanya selera. Jika mampu, tambahlah anak selagi boleh, jika tidak, bersyukur dengan apa yang dianugerahkan Ilahi.