Jahil dan tamak dua faktor utama masih ramai terpedaya dengan skim penipuan pelaburan yang ditawarkan terutamanya di media sosial facebook.
Mengikut rekod, sebanyak 2,281 kes penipuan pelaburan dicatatkan dalam tempoh lima bulan tahun ini dengan kerugian RM 270.5 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, walaupun pelbagai laporan didedahkan dan kempen dilakukan, namun masih ramai terpedaya dengan skim penipuan pelaburan.
Menurut beliau, ini kerana kurang ilmu pengetahuan dan sifat tamak, selain teruja untuk mudah percaya terhadap pelaburan menjanjikan keuntungan sehingga ratusan kali ganda daripada modal asal dalam beberapa jam.
“Pelaburan dijanjikan tidak masuk akal, malangnya ada masyarakat yang menganggap perkara ini betul dan percaya terhadap janji keuntungan itu. Dorongan utama adalah jahil dan tamak.
“Kemungkinan daripada seribu pelaburan, hanya satu yang betul (sah).
“Justeru, jangan mudah percaya dan berurusan dengan sebarang penipuan ditawarkan. Jangan ambil risiko. Apabila berurusan beberapa kali, kemungkinan mangsa akan kehilangan wang pelaburan,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, sindiket menyasarkan dua golongan sebagai mangsa.
Sebagai contoh, jelas beliau, pelaburan yang dipromosikan di aplikasi Telegram menyasarkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah sebagai mangsa dengan modal sebanyak RM300 hingga RM500.
“Terdapat pelaburan ditawarkan melalui Facebook bagi memperdaya golongan emas yang mempunyai wang serta ahli perniagaan membabitkan kerugian lebih besar sampai jutaan ringgit.
“Sindiket menggunakan ‘sifu’ atau ‘guru’ selain memaparkan gaya hidup mewah kononnya untuk pelaburan kripto, pelaburan saham dan sebagainya bagi memancing mangsa-mangsa,” katanya.
Polis berkata, ramai yang tertarik dengan pesanan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan, mangsa mengikut arahan dengan memuat turun dan mendaftar di aplikasi tertentu.
Mangsa seterusnya memulakan pelaburan dan dijanjikan pulangan beratus ganda hanya dalam beberapa jam sahaja.
Namun akhirnya pulangan yang dijanjikan itu tidak boleh direalisasikan dan guru atau sifu itu terus menghilang atau berdolak-dalik.
Nota : RMSTAR akan terus mendidik rakyat Malaysia untuk menggandakan kewangan dengan selamat, munasabah dan mengikut lunas-lunas kewangan bagi menjamin hasil pendapatan yang konsisten buat semua yang bersama dengan RMSTAR. Layari www.rmstar.net dan mulakan gandakan pendapatan anda hari ini.